PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) berjaya menumpaskan sebanyak 304 kes kesalahan hutan sepanjang tahun 2025, dengan 491 tangkapan melibatkan warga tempatan dan asing.
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil kerjasama erat antara JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri melalui rondaan berjadual serta operasi bersepadu.
“Kita melakukan 491 tangkapan sepanjang tahun lalu membabitkan 447 warga tempatan dan 44 warga asing.
“Kesemua tangkapan ini telah diambil tindakan di bawah akta dan perundangan jabatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, daripada jumlah warga asing yang ditahan, seramai 13 warga Myanmar, 11 warga Indonesia, enam warga Bangladesh, tiga warga Vietnam, tiga warga China, dua warga Kemboja serta masing-masing dua warga Kenya dan Pakistan.
Majlis pelancaran OPS Limau 2026 sempena Tahun Baru Cina turut diadakan pada Rabu, dengan Zahari menekankan bahawa operasi bersepadu ini berlangsung dari 11 hingga 27 Februari 2026.
Katanya, ia melibatkan rondaan intensif, pemantauan berterusan, dan tindakan penguatkuasaan menyeluruh bagi membendung aktiviti pembalakan haram serta penyeludupan hasil hutan.
“Pelaksanaan operasi ini adalah sebagai langkah proaktif susulan peningkatan permintaan terhadap hasil hutan khususnya kayu balak dan produk berasaskan kayu yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan dan berpotensi meningkatkan risiko pelanggaran undang-undang perhutanan,” katanya.
OPS Limau 2026 turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan pengurusan sumber asli secara mampan demi kepentingan generasi kini dan akan datang.
Zahari berkata, pemeliharaan hutan bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan sokongan industri, komuniti setempat dan masyarakat umum.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi JPSM bagi membantu usaha membanteras kegiatan haram.








