PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia akan mengetahui tarikh permulaan Ramadan tahun ini selepas proses melihat anak bulan yang dijadualkan pada petang Selasa, 17 Februari 2026, bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan bahawa penetapan tarikh itu dibuat bagi menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah mendapat perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Proses cerapan anak bulan akan dijalankan di 29 lokasi strategik di seluruh negara. Antara lokasi terlibat ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka; dan Baitul Hilal Telok Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain itu, beberapa lokasi lain di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah turut terlibat, termasuk Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Kenyataan media Jabatan Penerangan itu turut memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja bersetuju kaedah penentuan awal Ramadan adalah berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab.
Tarikh rasmi permulaan Ramadan akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam berkenaan menerusi siaran radio dan televisyen.
Baca juga:








