Permohonan Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong 2026 Dibuka Hari Ini

PUTRAJAYA: Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kini dibuka secara rasmi bermula hari ini hingga 6 Mac depan, menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Biasiswa berprestij yang turut dikenali sebagai King’s Scholarship itu merupakan penajaan tertinggi di bawah JPA, dengan matlamat melahirkan pemimpin akademik dan profesional bertaraf dunia.

“Biasiswa ini menyasarkan individu berpotensi tinggi yang menunjukkan kecemerlangan secara holistik merangkumi pencapaian akademik, penglibatan bukan akademik, kepimpinan unggul serta komitmen terhadap pembangunan negara,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

BYDPA ditawarkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian sepenuh masa di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD) sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.

Antara bidang yang diberi keutamaan termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta kecerdasan buatan.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi penajaan JPA bermula hari ini.

“Permohonan ini turut dibuka kepada pegawai awam tertakluk kepada syarat umum kemudahan Cuti Belajar yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu lagi.

Maklumat lanjut termasuk panduan dan syarat permohonan boleh diperoleh melalui portal rasmi JPA atau saluran rasmi jabatan berkenaan.

Anda Mungkin Berminat