Khutbah Jumaat WPKL: Sambut Tetamu Agung Ramadan Dengan Penuh Ketakwaan

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hari ini diingatkan agar menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh persiapan rohani, jasmani dan ilmu, menerusi khutbah bertajuk ‘Menyambut Tetamu Agung Dengan Ketakwaan’ yang disampaikan di masjid-masjid negeri.

Khutbah yang dimuat naik di laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menekankan kepentingan menzahirkan kesyukuran atas nikmat dipanjangkan usia serta peluang untuk melaksanakan ibadah puasa dengan lebih baik berbanding Ramadan sebelumnya.

“Maka usah sesekali kita berasa lemah dalam mentaati perintah Allah. Sabar dan tahanlah diri agar tidak melakukan apa yang ditegah.

“Mudah-mudahan Ramadan yang bakal menjelang membentuk takwa yang menjadi sumber kekuatan dalam usaha menambah amal soleh,” menurut teks khutbah itu.

Selain persiapan fizikal seperti sahur dan iftar, khutbah turut menyeru umat Islam menumpukan perhatian kepada persiapan hati dan ilmu supaya setiap ibadah yang dilaksanakan berlandaskan kefahaman yang betul dan diterima Allah SWT.

Khutbah itu juga mengingatkan bahawa para salaf terdahulu berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan dan enam bulan berikutnya agar amal ibadah mereka diterima.

Dalam masa sama, umat Islam diingatkan supaya menghormati syiar Ramadan dengan menjauhi maksiat serta menjadi teladan kepada keluarga dan masyarakat.

“Semoga Allah SWT memberi hidayah dan kekuatan kepada yang masih lalai agar kembali taat kepada perintah-Nya termasuk menunaikan solat dengan sempurna dan mengerjakan ibadah puasa dengan sabar,” kata khutbah tersebut.

Sebagai penutup, khutbah merumuskan tiga perkara utama dalam menyambut Ramadan iaitu memperbaiki niat dan mengenal diri, mempersiapkan ilmu, rohani dan jasmani serta menghormati syiar Ramadan dengan mengekalkan ketakwaan dalam kehidupan seharian.

Anda Mungkin Berminat