KUALA LUMPUR: Malaysia menutup tahun 2025 dengan pencapaian ekonomi yang mengagumkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku keempat meningkat 6.3 peratus, jauh mengatasi jangkaan penganalisis tempatan dan antarabangsa yang disurvei Bloomberg, serta melepasi median unjuran 5.4 peratus.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa prestasi kukuh itu digerakkan oleh permintaan domestik yang terus menguat, selain disokong kadar pengangguran terendah dalam lebih sedekad.
Perbelanjaan isi rumah turut diperkasa melalui peluasan program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang dibiayai hasil penjimatan daripada reformasi fiskal Kerajaan MADANI.
“Pertumbuhan suku keempat yang melonjak ini menunjukkan ekonomi Malaysia semakin mantap dan memberi keyakinan kepada pelabur tempatan serta antarabangsa,” kata kementerian itu pada Jumaat.
Kenaikan itu sekali gus mengangkat pertumbuhan ekonomi tahun penuh 2025 kepada 5.2 peratus, melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4 hingga 4.8 peratus.
Pelaburan domestik pula berkembang 9.6 peratus sepanjang tahun, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pembaharuan struktur di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Menjelang 2026, kerajaan bertekad memperhebat agenda reformasi fiskal dan ekonomi dengan fokus kepada pelaksanaan RMK-13, usaha memerangi rasuah serta pembangunan sektor bernilai tinggi yang mampu memberi pulangan besar kepada negara.
Kementerian berkata, langkah itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, sekali gus menjamin limpahan manfaat lebih besar kepada rakyat.








