MCMC Siasat Penyebaran Naratif Palsu Berunsur 3R

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan komitmen untuk membanteras penyebaran maklumat palsu dan berunsur 3R (agama, kaum, raja) di media sosial selepas insiden kemalangan di Selangor dimanipulasi sehingga mencetuskan ketegangan kaum.

Dalam kenyataan rasmi, MCMC merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor yang mengesahkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada perselisihan faham peribadi berkaitan isu tanah dan laluan serta ‘tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman’.

MCMC berkata, cubaan mengaitkan insiden itu dengan isu 3R adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

Analisis awal MCMC turut mengesan elemen tingkah laku tidak autentik secara terselaras (CIB) apabila kandungan sama disebarkan berulang kali di Facebook dan TikTok dalam tempoh singkat.

Setakat ini katanya, sebanyak 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok sedang diteliti bagi membantu siasatan.

MCMC menekankan bahawa seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] jelas melarang penyebaran kandungan palsu, menghasut kebencian atau bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu orang lain.

“MCMC tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian,” tegas kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga keharmonian masyarakat.

Anda Mungkin Berminat