JAKIM lancar Ihya’ Ramadan peringkat kebangsaan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama 13 agensi mengadakan Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M hari ini di Dewan Syeikh Daud al-Fathani, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bagi menandakan kesediaan kerajaan MADANI menyambut Ramadan al-Mubarak.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, pelancaran ini bukan sekadar acara tahunan.

“Program Ihya’ Ramadan bertujuan mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih menyantuni dan menyentuh jiwa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menambah, Ramadan bukan hanya bulan ibadah, tetapi ruang untuk memperkukuh nilai ihsan dan memastikan tiada sesiapa terpinggir.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Ops Ihsan 2.0 serta pengukuhan inisiatif Sekolah Angkat Tabung Haji.

“Ops Ihsan 2.0 membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan secara sistematik dan berimpak tinggi sepanjang Ramadan.

“Inisiatif Sekolah Angkat Tabung Haji pula memberi sokongan kepada pelajar daripada keluarga asnaf, termasuk aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah.” Katanya.

JAKIM turut merangka pelbagai program sepanjang Ramadan, termasuk berbuka puasa bersama komuniti, pengisian rohani, dan slot pendidikan melalui televisyen, radio serta platform media sosial rasmi.

“Pendekatan ini memastikan mesej dan penghayatan Ramadan sampai ke setiap rumah dan lapisan masyarakat,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat