KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat 2025, mengatasi unjuran rasmi sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata angka yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia itu membuktikan kestabilan politik dan tadbir urus berintegriti menjadi asas penting kepada pertumbuhan mampan negara.
Beliau berkata suasana aman serta politik stabil memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan dasar ekonomi dengan lebih berkesan.
“Pertumbuhan ekonomi suku keempat amat membanggakan, lebih baik daripada yang kita unjurkan.
“Pelaburan tertinggi dalam sejarah, pengangguran rendah, inflasi terkawal dan pendapatan rakyat meningkat,” katanya.
Menurut beliau, meskipun masih berdepan beberapa cabaran, kekuatan ekonomi semasa membolehkan kerajaan terus melindungi kebajikan rakyat.
“Hasil negara yang meningkat disalurkan semula melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melibatkan peruntukan kira-kira RM15 bilion setahun,” katanya lagi.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM18 bilion bagi penambahbaikan elaun serta gaji penjawat awam yang sekian lama tidak disemak.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai secara langsung oleh rakyat.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Kasih Keluarga Negara dan Jelajah Sejahtera MADANI, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah.
Baca juga:








