Anwar: PKR Kini Di Tahap Terbaik, Perlu Terus Diperkukuh

PETALING JAYA: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui beliau kurang memberi perhatian kepada urusan parti sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Menurut Anwar, tumpuannya sepanjang tiga tahun kebelakangan ini lebih terarah kepada usaha memperbaiki pentadbiran kerajaan dan memulihkan ekonomi negara.

“Saya akui sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, fokus saya lebih kepada membetulkan ekonomi dan mengurus tadbir kerajaan. Orang boleh berkata apa sahaja, tetapi tugas kita adalah bekerja dan menjawab setiap isu yang dibangkitkan dengan fakta, bukan cerita yang direka,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah di Alor Setar semalam.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kedudukan PKR kini berada pada tahap terbaik dan perlu terus diperkukuh agar parti kekal utuh.

Katanya, PKR berdepan cabaran yang lebih besar berbanding parti lain, justeru kerjasama berpasukan amat penting bagi memastikan kekuatan parti terus diperkasa dan kemenangan dapat dicapai.

“Kita perlu menumpukan usaha membina kekuatan supaya kapal yang belayar dapat berlabuh dengan bergaya dan mantap,” ujarnya.

Anwar turut mengingatkan agar semua pihak tidak menganggap keadaan dalam parti sudah sempurna, sebaliknya perlu sentiasa melakukan penambahbaikan.

Beliau menegaskan perjuangan parti mesti berasaskan fakta dan bukan sentimen kebencian, sambil menyatakan tiada negara yang mampu maju jika rakyatnya disemai dengan sikap permusuhan.

Pandangan berasaskan kebencian, katanya, tidak perlu dilayan, sebaliknya setiap anggota parti harus melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan penuh integriti.

Mengulas kenyataan pembangkang, Anwar berkata memartabatkan Islam bukan sekadar retorik, tetapi perlu dizahirkan melalui amalan, prinsip keadilan dan pelaksanaan yang konsisten.

Katanya, PKR memandang serius kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan komited untuk memurnikan pelaksanaannya tanpa bersikap hipokrit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat