Hamzah selesa jadi MP Bebas, isyarat sertai ‘rumah baharu’

PETALING JAYA: Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan beliau mungkin menyertai “rumah baharu” dalam landskap politik susulan pemecatannya daripada BERSATU.

Bekas Timbalan Presiden BERSATU itu bagaimanapun berkata, buat masa ini beliau selesa berperanan sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Saya kini bebas. Saya tidak lagi perlu akur kepada arahan untuk melakukan sesuatu yang mungkin bertentangan dengan pendirian saya.

“Saya pasti akan mempunyai ‘rumah baharu’. Sama ada parti baharu atau parti sedia ada, yang penting ia adalah rumah baharu,” katanya pada sidang media pada Sabtu, memetik berita tempatan.

Hamzah turut tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk mengambil alih parti BERJASA, kembali menyertai UMNO atau menyertai PAS.

“Semua pilihan akan dipertimbangkan kerana ia berada dalam ruang yang ada,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung hala tuju politiknya akan dibuat secara bersama dengan pemimpin lain yang turut dipecat daripada BERSATU.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat