MAIS Peruntuk RM16.7 Juta Agihan Fidyah 2026, Sasaran 48,674 Penerima

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM16,716,800.00 bagi agihan fidyah tahun 2026, dengan sasaran menyantuni seramai 48,674 penerima layak di seluruh negeri.

Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS Tahun 2026 disempurnakan oleh Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Ara Damansara.

“Daripada jumlah keseluruhan fidyah itu, sebanyak RM7,571,200.00 disalurkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), melibatkan RM5,389,250.00 untuk Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Negeri Selangor.

“Manakala RM2,181,950.00 diagihkan kepada masjid dan surau di seluruh negeri,” kata MAIS dalam satu hantaran di Facebook.

Selain itu katanya, RM3,000,000.00 diperuntukkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), manakala RM2,500,000.00 disalurkan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi membantu golongan pelajar yang memerlukan.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian kotak makanan asas bernilai RM227.85 kepada 756 penerima asnaf fakir miskin sebagai simbolik pelancaran.

“Penerima agihan fidyah terdiri daripada golongan fakir miskin dan miskin sementara yang memenuhi syarat ditetapkan MAIS.

‘Antara kriterianya ialah pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,500, fakir miskin berdaftar di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS), mereka yang dibuang kerja atau berhadapan dengan pengurangan gaji sehingga 50 peratus serta golongan yang ditimpa musibah atau bencana,” katanya.

Bagi tahun sebelumnya, iaitu 2025, MAIS telah menyantuni seramai 54,545 penerima dengan jumlah agihan fidyah keseluruhan sebanyak RM18,157,700.00.

MAIS turut bekerjasama dengan Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi memastikan sumbangan fidyah disampaikan secara efisien, menyeluruh dan menepati golongan penerima.

RSAFM terdiri daripada JAIS, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), IPTA, IPTS, agensi kerajaan, sekolah, masjid dan surau di daerah yang terlibat.

Agihan fidyah MAIS melibatkan empat bentuk bantuan iaitu AFM Kotak Makanan, AFM Ejen Dapur Fidyah, AFM Tunai dan AFM Wang Saku Pelajar.

Bantuan kotak makanan dan ejen dapur fidyah disalurkan dalam bentuk pakej makanan asas bernilai RM227.85 setiap kotak, manakala bantuan tunai dikreditkan terus ke akaun penerima.

AFM Wang Saku Pelajar pula diagihkan melalui RSAFM dengan nilai RM500 bagi setiap pelajar.

Orang ramai yang berhasrat memohon bantuan fidyah boleh berhubung terus dengan RSAFM.

Bagi masyarakat yang ingin melunaskan kewajipan fidyah, MAIS menyediakan kemudahan platform digital Kalkulator Fidyah serta pembayaran fidyah secara dalam talian melalui portal rasmi www.mais.gov.my.

Selain itu, MAIS turut bekerjasama dengan LZS, Malaysia E-Government (MyEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad sebagai agen kutipan fidyah rasmi bagi memperluas kemudahan kepada masyarakat.

Anda Mungkin Berminat