Maritim Malaysia Catat 1,124 Tangkapan, Rampasan RM102.9 Juta Sepanjang 2025

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus membuktikan ketegasan dalam menjaga keselamatan perairan negara apabila mencatatkan sebanyak 1,124 kes tangkapan dengan nilai rampasan mencecah RM102.9 juta sepanjang tahun 2025.

Angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya menjadi bukti nyata terhadap tindakan berterusan agensi itu dalam membanteras pelbagai jenayah maritim yang semakin kompleks dan terancang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesalahan yang direkodkan melibatkan pencerobohan nelayan asing, penyeludupan migran, dadah, barangan kontraban, penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan.

“Ancaman berkenaan menuntut pasukan penguatkuasaan yang cekap, pantas dan berwibawa kerana isu di laut bukan hanya berkaitan keselamatan, malah menyentuh soal kedaulatan negara,” katanya.

Beliau menyampaikan ucapan itu bagi pihak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-21 Maritim Malaysia yang berlangsung di Miri pada Ahad.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah serta wakil jabatan dan agensi di bawah KDN dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Shamsul berkata, kehadiran Maritim Malaysia di perairan negara bukan sahaja berfungsi sebagai penguat kuasa undang-undang, malah menjadi faktor utama dalam membina keyakinan komuniti maritim, pelabur dan industri perkapalan yang menggunakan perairan Malaysia sebagai sumber rezeki dan laluan perdagangan.

“Maritim Malaysia adalah simbol kedaulatan negara dan jaminan bahawa zon maritim kita sentiasa berada dalam kawalan serta selamat,” ujarnya.

Selain operasi penguatkuasaan, komitmen agensi itu turut terserlah melalui 256 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu, membabitkan 1,930 mangsa dengan 1,768 individu berjaya diselamatkan.

Bagi memastikan momentum itu berterusan, Kerajaan MADANI memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia melalui penambahan aset strategik.

Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) pertama buatan Turkiye dijangka diterima pada pertengahan 2027, manakala empat helikopter Agusta Westland AW189 akan diterima secara berperingkat mulai Julai 2026.

Pada penghujung tahun lalu, Maritim Malaysia turut menerima kapal Ex-USCG Cutter Steadfast daripada United States Coast Guard (USCG) dalam usaha meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh dan operasi berterusan di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

Majlis ulang tahun kali ini turut diserikan dengan perasmian Kompleks Zon Maritim Miri bernilai RM118.3 juta, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (Rolling Plan 2).

Kompleks moden itu merangkumi bangunan pentadbiran, jeti operasi, 95 unit kuarters kediaman serta pelbagai kemudahan sokongan lain.

Dengan gabungan kekuatan aset baharu dan infrastruktur moden, Maritim Malaysia kini berada pada landasan lebih kukuh untuk memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

Anda Mungkin Berminat