Anwar Tegur Projek Infra ‘Sakit’, Arah Hospital Pontian ‘Fast-Track’

PONTIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa teguran terhadap mana-mana projek infrastruktur yang lembap atau berstatus ‘sakit’ adalah berasas kerana rakyat menantikan penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan mereka, bukannya alasan yang berpanjangan.

Berucap ketika merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian, beliau menekankan keperluan mempercepatkan projek yang lewat tanpa bergantung kepada lanjutan masa yang hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan.

“Projek yang lewat atau berstatus sakit perlu disegerakan tanpa bergantung kepada lanjutan masa yang hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan,” katanya.

Anwar turut menggesa pihak berkaitan agar lebih proaktif dengan menambah baik kaedah pelaksanaan, memilih kontraktor yang benar-benar berkeupayaan serta memperketat pemantauan dari semasa ke semasa.

Menyentuh majlis pecah tanah tersebut, beliau menyatakan keyakinan bahawa projek itu selari dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur asas di peringkat daerah khususnya kemudahan kesihatan.

“Saya turut mengarahkan projek ini dimasukkan sebagai projek ‘fast-track’ di bawah penyelarasan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tambah Perdana Menteri, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, sekali gus memastikan perkhidmatan perubatan lebih selesa dan berdaya saing untuk rakyat.

Anda Mungkin Berminat