Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa wujudnya hipokrasi dalam kepimpinan Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta segelintir barisan pimpinan yang disifatkannya sebagai ‘penjilatnya’.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Pengerusi Lembaga Rayuan parti untuk menarik balik rayuan yang difailkannya sebelum ini bagi menamatkan segala polemik berhubung tindakannya dalam parti.
Menurut Wan Saiful, keputusan itu dibuat bagi menutup isu berkenaan secara tuntas.
Beliau turut menyentuh antara tuduhan yang dikenakan terhadapnya, iaitu mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).
Dakwanya, tindakan sama kini dilakukan oleh Presiden Bersatu sendiri.
“Saya mahu sebutkan satu perkara untuk menutup topik ini.
“Antara tuduhan terhadap saya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Presiden dalam PN. Perkara yang sama dilakukan hari ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Wan Saiful dipecat daripada Bersatu pada 14 Oktober 2025 berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden parti.
Dalam surat penarikan rayuan itu, beliau berkata, jika rayuannya dipertimbangkan sepenuhnya berdasarkan merit, keputusan paling munasabah adalah membatalkan pemecatan dan mengembalikan hak serta jawatannya. >
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli Lembaga Rayuan yang pada pandangan saya bersikap profesional dan telus, yang mana ia adalah jauh berbeza dengan sikap ahli Lembaga Disiplin,” dakwa beliau.
Wan Saiful turut mendakwa Bersatu sudah tidak mempunyai masa depan di bawah pimpinan Muhyiddin.
“Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Tan Sri Muhyiddin merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali (Setiausaha Agung Bersatu).
“Ini menyebabkan Bersatu lari jauh dari agenda rakyat kepada hanya memperjuang agenda dan cita-cita peribadi,” katanya.








