Lelaki Ditemui Lemas Di Tasik Putrajaya

PUTRAJAYA: Seorang lelaki dilaporkan ditemui lemas berhampiran Istana Darul Ehsan, Presint 8, Putrajaya pada Isnin.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Putrajaya, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 11.42 pagi yang memaklumkan terdapat mangsa lemas di lokasi berkenaan.

Katanya, sejurus menerima panggilan, sebuah jentera LFRT bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 digerakkan ke lokasi pada pukul 11.43 pagi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, mangsa lelaki dewasa didapati terapung di tepi tasik berhampiran istana tersebut,” katanya.

Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengangkat mangsa ke tebing menggunakan pengusung dengan bantuan bot daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah hari,” katanya.

Anda Mungkin Berminat