PETALING JAYA: Pemuda AMANAH Nasional menyatakan sokongan penuh agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki direhatkan daripada tugasan buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap segala tuduhan yang berbangkit.
Dalam kenyataan media pada Isnin, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Danial Al Rashid berkata, pendirian itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya berasaskan prinsip tadbir urus yang baik serta keperluan mempertahankan integriti institusi penguatkuasaan negara.
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebarang kontroversi yang menimbulkan persoalan awam wajar ditangani dengan langkah profesional dan berhemah bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan,” katanya.
Beliau berkata, langkah merehatkan sementara bukanlah satu bentuk hukuman tetapi tindakan pentadbiran yang matang untuk memastikan proses siasatan dapat dijalankan tanpa campur tangan serta memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi anti-rasuah negara.
“Prinsip ‘innocent until proven guilty’ tetap dihormati. Namun dalam masa yang sama, integriti dan kredibiliti institusi mestilah diutamakan,” katanya.
Menurutnya lagi, Malaysia memerlukan institusi yang diyakini rakyat dan keyakinan itu hanya boleh diperkukuhkan melalui ketelusan serta kebertanggungjawaban.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik demi masa depan negara.








