Anwar Seru Rakyat Malaysia Kekal Keharmonian Sempena Tahun Baharu Cina

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai wadah memperkukuh keharmonian, rasa hormat dan semangat muhibah dalam masyarakat berbilang kaum.

Dalam perutusan sempena Tahun Kuda Api, beliau menekankan bahawa perayaan ini bukan sekadar simbol kemakmuran tetapi juga peluang untuk memperteguh nilai kebijaksanaan dan kesederhanaan dalam menghadapi cabaran negara.

“Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

“Pada tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa keharmonian hanya dapat dicapai apabila rakyat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, selaras dengan falsafah Confucius yang menekankan pentingnya toleransi dalam kehidupan bermasyarakat.

“Tatkala wacana awam semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah terbina antara rakyat Malaysia sejak sekian lama.

“Sebaliknya, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan,” ujar beliau.

Perdana Menteri menegaskan keyakinannya bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah sekiranya rakyat menjadikan keharmonian, rasa hormat dan ihsan sebagai pegangan bersama.

“Saya yakin Malaysia akan terus melangkah gagah apabila keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama.

“Semoga tahun ini, seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan dengan kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya.

Anda Mungkin Berminat