Shamsul Iskandar Mohon Kes Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memohon agar lima pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Memetik laporan Harian Metro, Shamsul Iskandar menjelaskan dalam afidavit sokongan bahawa permohonan itu dibuat kerana kes berkenaan melibatkan persoalan undang-undang dan isu yang kompleks.

“Selain itu, pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) terhadap kes membabitkan sumbangan politik dan tafsiran istilah undang-undang yang teknikal, di mana kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi turut akan memainkan peranan penting ketika perbicaraan,” katanya.

Beliau berkata, perbicaraan di Mahkamah Tinggi akan memberi peluang kepada pihak-pihak untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, sekali gus membolehkan isu perlembagaan berkaitan Akta 694 diputuskan di peringkat tertinggi.

“Saya juga percaya bahawa keputusan dan alasan penghakiman oleh mahkamah atasan terutamanya Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat dan panduan kepada mahkamah yang lain,” katanya.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar mengesahkan bahawa permohonan tersebut difailkan pada 4 Februari lalu di Mahkamah Tinggi.

Pada 3 Disember 2025, Shamsul Iskandar, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dua hari kemudian, pada 5 Disember, beliau sekali lagi didakwa dengan satu pertuduhan rasuah berjumlah RM64,924 berkaitan perkara sama.

Anda Mungkin Berminat