Israel Tahan Imam Masjid Al‑Aqsa, Ketegangan Meningkat Menjelang Ramadan

BAITULMAQDIS: Ketegangan di perkarangan Masjid Al‑Aqsa kembali memuncak apabila pihak berkuasa Israel menahan Imam Masjid Al‑Aqsa, Sheikh Mohammad Ali Al‑Abbasi, pada Isnin.

Penahanan itu berlaku selepas 222 peneroka Yahudi menceroboh kawasan masjid dengan kawalan ketat polis Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan menjelang Ramadan yang bakal bermula minggu ini.

Menurut laporan, Sheikh Mohammad Ali Al‑Abbasi ditahan di halaman masjid dan dikenakan larangan memasuki kompleks Al‑Aqsa selama seminggu.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Israel tidak menyatakan alasan rasmi bagi tindakan tersebut.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada siri sekatan yang semakin meningkat terhadap imam, penceramah dan jamaah di Al‑Aqsa.

Tindakan termasuk pembatasan akses masuk, kawalan ketat terhadap al‑Murabitin (jamaah yang kerap hadir di masjid) serta peningkatan serangan oleh peneroka Yahudi yang dilindungi polis.

Dalam masa sama, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberi amaran bahawa Israel berpotensi meningkatkan ketegangan di kawasan Al‑Aqsa sepanjang Ramadan, tempoh yang lazimnya sensitif dalam konflik Palestin–Israel.

PA menegaskan bahawa tindakan provokatif itu boleh mencetuskan konfrontasi lebih besar di Baitulmaqdis Timur dan seluruh Tebing Barat.

Anda Mungkin Berminat