IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga yang terjejas akibat banjir di Manjoi, Ipoh, sambil memberi jaminan bahawa bantuan segera telah disalurkan sejak Isnin.
Dalam satu hantaran di Facebook beliau, Anwar menekankan komitmen kerajaan untuk terus memantau keadaan dan bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan.
“Situasi banjir di Manjoi begitu memprihatinkan. Sejak semalam (Isnin) saya telah menerima laporan secara berterusan dan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas akibat dari musibah banjir ini.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau dan bersiapsiaga, selain terus berdoa agar musibah ini mereda dan warga Manjoi dapat segera kembali ke rutin harian secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat selama hampir dua jam pada malam Isnin telah menyebabkan air melimpah ke kawasan kediaman di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein.
Seramai 26 penduduk daripada 10 keluarga terpaksa dipindahkan ke Masjid Al-Ghufron sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Kinta, sembilan keluarga dengan 22 mangsa terjejas di Kampung Manjoi, manakala sebuah keluarga seramai empat orang dipindahkan dari Kampung Tengku Hussein.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka kerana jumlah mangsa kecil dan keadaan banjir masih terkawal.
Perdana Menteri turut menzahirkan doa agar musibah ini segera reda, membolehkan warga Manjoi kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.








