KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bersama rakan pimpinan serta masyarakat Cina sekitar ibu negara.
Dalam ucapan penuh makna, beliau menzahirkan penghargaan terhadap sokongan masyarakat dan menekankan bahawa kemajuan Malaysia hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan merentasi kaum dan latar belakang.
“Dewan ini dekat di hati saya, tatkala ia menjadi saksi perjalanan panjang sejak di universiti dan ABIM serta saat jatuh dan bangkit semula ketika memperjuangkan keadilan, reformasi dan hak setiap rakyat bersama KLSCAH dan teman-teman seperjuangan.
“Kemajuan yang kita capai hari ini lahir daripada semangat berpasukan dan kesediaan untuk bekerja keras merentasi kaum dan latar belakang,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa isu perpecahan kaum telah lama menjadi cabaran besar negara, sebagaimana pernah ditegaskan oleh Tun Abdul Razak.
“Sejak puluhan tahun, pemimpin terdahulu termasuk Tun Abdul Razak telah mengingatkan bahawa perpecahan dan sentimen perkauman adalah cabaran besar negara.
“Hakikat bahawa perkara ini masih perlu diulang hari ini menjadi tamparan bahawa kita telah membiarkan masalah lama ini terus berlarutan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia tidak akan mampu bergerak ke hadapan jika rakyat terus berbalah dan membiarkan hasutan perpecahan meretakkan kepercayaan sesama sendiri.
“Malaysia tidak akan bergerak ke hadapan jika kita terus berbalah dan membiarkan hasutan perpecahan dan perbezaan meretakkan kepercayaan sesama kita.
“Kekuatan negara terletak pada muafakat dan kesediaan menyelesaikan perbezaan secara matang dan beradab,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh masyarakat, sambil berjanji untuk terus berpegang pada prinsip keadilan dalam memimpin negara.
“Saya menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah terjalin sekian lama ini.
“Ia menjadi peringatan buat saya untuk terus bekerja dengan jujur, tekun dan berpegang pada prinsip keadilan dalam memikul amanah memimpin negara,” katanya lagi.








