Bangunan Sultan Abdul Samad jadi tumpuan gerai haram, DBKL tidak tunggu lama

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak pantas susulan tular dakwaan kewujudan penjaja tidak berlesen yang berniaga di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Perkongsian di media sosial oleh akaun “matahitamkita” mendakwa barangan beberapa penjaja minuman yang menjalankan perniagaan terbabit dirampas oleh penguatkuasa.

“Tak berjaya meniaga sampai habis pun, DBKL bertindak cepat,” menurut hantaran tersebut yang turut mempersoalkan tahap kebersihan penyediaan minuman berkenaan.

Isu itu timbul selepas tular satu lagi perkongsian yang menyifatkan kawasan berkenaan sebagai ‘bazar’ menjelang malam. Bagaimanapun, penggunaan istilah bazar itu dipercayai hanya sindiran netizen terhadap kewujudan gerai yang didakwa beroperasi tanpa lesen rasmi.

Untuk rekod, kawasan hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan antara lokasi ikonik dan bersejarah di ibu negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai imej bandar serta aspek keselamatan dan kebersihan.

Beberapa netizen meminta DBKL memantau keadaan itu lebih awal agar ia tidak menjadi kebiasaan atau seolah-olah bazar tetap tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Perkongsian yang tular menunjukkan deretan gerai memenuhi kawasan berkenaan pada waktu malam, menyerupai bazar rasmi. Namun, menurut dakwaan dalam talian, penjaja terbabit dipercayai tidak mempunyai lesen sah untuk berniaga di lokasi tersebut.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan DBKL berhubung jumlah kompaun atau tindakan lanjut yang diambil, namun tindakan penguatkuasaan pantas itu mendapat reaksi pelbagai daripada warga maya yang menuntut pemantauan berterusan di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat