KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang didakwa mendera seorang kanak-kanak dalam kejadian di sebuah kediaman di Setapak, Kuala Lumpur, selepas rakaman video penderaan itu tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan media pada Khamis berkata, rakaman berdurasi dua minit yang dimuat naik di platform Threads oleh pemilik akaun Capricedaddycap pada 19 Februari memaparkan seorang lelaki bertindak memukul, mengasari dan menendang mangsa selain mengarahkannya berlari berulang-alik.
“Kejadian berlaku di sebuah kediaman dan sekitar Setapak, Kuala Lumpur.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Menurut Fadil, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 19 Disember 2025, pukul 1.48 petang daripada seorang wanita Melayu berusia 27 tahun yang merupakan ibu kepada mangsa.
Difahamkan, pengadu telah melihat beberapa rakaman video yang menunjukkan suspek melakukan penderaan fizikal dan mental terhadap kanak-kanak berkenaan.
Susulan laporan tersebut, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun pada 20 Disember 2025.
Suspek, yang merupakan suami pengadu dan bapa tiri mangsa, kemudiannya didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar segera membuat laporan sekiranya mengetahui kes penderaan khususnya melibatkan kanak-kanak.
Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.








