PETALING JAYA: Usaha meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama terus diperkasa apabila pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) fasa pertama telah siap sepenuhnya di 200 sekolah terpilih seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam kenyataan ringkas di Facebook pada Khamis berkata, inisiatif tersebut melibatkan peruntukan RM3 juta dan telah diselesaikan pada November tahun lalu.
“Bagi meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama, kami laksanakan inisiatif pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Beliau berkata, tahun ini pemasangan CCTV akan diteruskan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan kesejahteraan murid, guru dan warga sekolah.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pelaksanaan pemasangan CCTV bermula pada 13 Oktober lalu, melibatkan 200 buah asrama sekolah di bawah KPM.
Projek ini dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko dan keperluan setempat termasuk rekod kes buli dalam tempoh dua tahun, kepadatan jumlah pelajar, kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian serta pengesahan teknikal daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Selain menambah baik sistem keselamatan, pemasangan CCTV turut mematuhi garis panduan khusus bagi melindungi data peribadi dan privasi murid, selaras dengan kehendak perundangan serta dasar KPM.
KPM berkata, keperluan CCTV di sekolah berasrama akan terus dilaksanakan secara berperingkat, bergantung kepada peruntukan kewangan dalam Belanjawan 2026.






