KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menolak rayuan pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, untuk mengetepikan perintah kebankrapan terhadapnya susulan kegagalan melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah kepada syarikat kejuruteraan pembinaan, Cekap Air Sdn Bhd.
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili Cekap Air memaklumkan mahkamah turut menolak permohonan Jovian bagi menggantung perintah kebankrapan tersebut.
“Mahkamah menolak rayuan untuk mengetepikan petisyen pemiutang dan permohonan menggantung perintah kebankrapan dengan kos sebanyak RM10,000,” katanya selepas prosiding di dalam kamar Hakim Jamhirah Ali.
Pada 3 Julai tahun lalu, Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli mengeluarkan perintah kebankrapan selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat itu pada 20 November 2024.
Sebelum itu, pada 21 Mei 2024, Cekap Air memfailkan notis kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan mahkamah pada 2 April tahun sama.
Menurut petisyen pemiutang, syarikat berkenaan memohon perintah kebankrapan terhadap Jovian kerana gagal menjelaskan RM5,284,340.66 termasuk faedah seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi.
Pada 2 April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membenarkan permohonan Cekap Air untuk mendapatkan penghakiman terus dan mengarahkan Jovian membayar semula pinjaman tersebut.
Penghakiman terus diputuskan berdasarkan hujahan bertulis tanpa melalui perbicaraan penuh atau pemanggilan saksi.
Cekap Air memfailkan saman terhadap Jovian pada 16 Mei 2023 selepas mendakwa beliau gagal membayar semula RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar persahabatan. Pengarah syarikat itu, Yong Zhen Wei, dikatakan merupakan kenalan kepada pereka fesyen berkenaan.
Menurut plaintif, pinjaman sebanyak RM5 juta itu diberikan pada 25 Februari 2022 atas permintaan lisan Jovian dan dipindahkan ke akaun pelanggan sebuah firma guaman yang mewakilinya, dengan tempoh bayaran balik tidak melebihi 12 bulan.
Cekap Air mendakwa pinjaman tersebut dibuat secara lisan dan atas dasar kepercayaan memandangkan kedua-dua pihak saling mengenali serta Jovian mempunyai beberapa perniagaan lain.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian dan sehingga kini gagal melangsaikan hutang berkenaan, menyebabkan kerugian kepada pihak plaintif. Jovian memfailkan pernyataan pembelaannya pada 20 Jun 2023.
Baca juga:








