KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi meraikan sahabat dan rakan sejawatnya dari Singapura, Perdana Menteri Lawrence Wong, dalam satu pertemuan penuh bersejarah di Seri Negara sempena lawatan khas beliau ke Malaysia.
Pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu bukan sekadar diplomasi tetapi juga menghidupkan semula memori sejarah di rumah agam berusia lebih seabad yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 serta Perjanjian Kemerdekaan pada 1957.
“Pertemuan hari ini cukup bermakna tatkala ia berlangsung di sebuah rumah agam berusia lebih seabad, saksi kepada pelbagai detik penting sejarah termasuk pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 serta Perjanjian Kemerdekaan pada 1957,” kata Anwar.
Kedua-dua pemimpin sempat meninjau usaha pemuliharaan Seri Negara melalui inisiatif Warisan Kuala Lumpur, sebelum berbuka puasa bersama dan meneruskan perbincangan empat mata sewaktu makan malam.
Topik utama yang dibincangkan termasuk usaha mempererat persahabatan Malaysia-Singapura serta memperkukuh kerjasama dalam menyelesaikan isu tertunggak antara kedua-dua negara jiran.
“Saya amat menghargai kunjungan PM Lawrence yang menjadi manifestasi persahabatan kedua-dua negara, di samping memperteguh hubungan peribadi antara kami,” katanya.
Beliau berkata, semoga keberkatan Ramadan terus menyuburkan persefahaman dan kemakmuran berpanjangan kepada rakyat Malaysia dan Singapura.
Untuk info, Seri Negara sebagai simbol sejarah
Seri Negara yang kini dipulihara sebagai warisan negara, pernah menjadi lokasi penting dalam perjalanan kemerdekaan Tanah Melayu.
Pertemuan Anwar dan Lawrence Wong di sini menambah satu lagi coretan sejarah, melambangkan kesinambungan hubungan diplomatik yang semakin erat antara Malaysia dan Singapura.








