Azam Baki Dipanggil Beri Keterangan Berkaitan Pemilikan Saham

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu pemilikan saham pada 19 Februari lalu, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan Jawatankuasa Khas Siasatan mengenai isu pemilikan saham Azam telah bersidang pada tarikh sama dan sedang meneliti aspek pematuhan serta keteraturan pemilikan saham berkenaan.

“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi lain bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau menegaskan, siasatan akan dijalankan secara telus, bebas dan profesional, dan hasilnya serta syor tindakan selanjutnya akan dikemukakan kepada pihak berkuasa sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.

Laporan media sebelum ini menyebut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Sebelum ini, Bloomberg mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat