KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong tindakan saman oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap Bloomberg berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, setiap individu termasuk penjawat awam berprofil tinggi berhak mempertahankan reputasi dan maruah melalui saluran undang-undang sekiranya merasakan dilaporkan secara tidak adil.
“Jika benar laporan tersebut mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah, tindakan saman adalah langkah sah dan profesional untuk membolehkan mahkamah menentukan kebenaran.
“Dalam negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau menegaskan hak Azam mengambil tindakan saman adalah hak peribadi dan bukan tanda intimidasi terhadap kebebasan kewartawanan.
MCW memandang keputusan menggunakan saluran mahkamah sebagai pendekatan bertamadun untuk menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi.
“Integriti institusi penguatkuasaan mesti dipertahankan. Tuduhan tidak berasaskan fakta dan disensasikan boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara,” tambahnya.
MCW turut mengingatkan bahawa kebebasan media datang bersama tanggungjawab kewartawanan tinggi, termasuk semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan seimbang.
Media antarabangsa juga perlu berhati-hati agar tidak diperalatkan untuk membentuk naratif yang belum terbukti.
“MCW menyeru semua pihak menghormati proses perundangan dalam kes Azam ini dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.
“Kami akan terus berdiri teguh mempertahankan integriti institusi dan memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif yang belum diuji di mahkamah,” ujarnya.
Tan Sri Azam Baki memfailkan saman terhadap Bloomberg berhubung artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan, beliau menuntut ganti rugi am RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.
Baca juga:








