Zafrul Pertahan Langkah Awal Kerajaan Tangani Isu Tarif

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tampil mempertahankan pendekatan proaktif kerajaan dalam menangani isu tarif melibatkan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, tindakan awal amat penting bagi melindungi kepentingan ekonomi negara.

Menurut Zafrul, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga semua proses perundangan di Mahkamah Agung Amerika Syarikat selesai.

“Dalam perdagangan global hari ini, siapa yang lambat bertindak akan membayar harga yang mahal,” katanya menerusi satu video di Facebook pada Isnin.

Beliau menjelaskan, langkah awal itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan perubahan dasar perdagangan.

“Kita tidak boleh tunggu sehingga keputusan mahkamah selesai sepenuhnya, baru hendak mula berunding,” katanya.

Zafrul turut mengibaratkan strategi kerajaan itu seperti konsep insurans perjalanan, di mana perlindungan disediakan lebih awal sebelum risiko berlaku.

“Ini seperti kita sediakan payung sebelum hujan. Bila hujan turun, kita tidak lagi kelam-kabut mencari perlindungan,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa ekonomi utama dunia turut mengambil langkah sama bagi memastikan kepentingan industri masing-masing terus terpelihara.

“Kalau kita tengok, bukan Malaysia sahaja yang mengambil pendekatan ini.

“Contohnya Kesatuan Eropah, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia mengambil pendekatan sama bagi memastikan kepentingan perdagangan masing-masing terus terpelihara.

“Ini bukan soal siapa paling kuat bercakap tetapi siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi dan pekerjaan rakyat di masa akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif ‘timbal balas’ ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dasar perdagangan global termasuk kesannya terhadap negara-negara seperti Malaysia.

Anda Mungkin Berminat