PETALING JAYA: Ketua Pengarah Astro Awani yang baru sahaja mengumumkan pengunduran diri, Ashwad Ismail, kini dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkuat kuasa Isnin.
Pelantikan itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menerusi hantaran di Facebook beliau.
Fahmi turut mengalu-alukan kedatangan Ashwad bersama Timbalan Ketua Pengarah RTM, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah.
“Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, saudara Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah.
“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ashwad menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang menamatkan perkhidmatan pada Jumaat lalu.
Untuk info, Ashwad yang sering muncul di kaca televisyen Astro Awani memulakan kerjaya sebagai wartawan lapangan sebelum berkembang sebagai penerbit berita dan editor.
Beliau kemudian memegang pelbagai jawatan kepimpinan editorial di stesen televisyen serta platform berita arus perdana, menjadikan pengalaman luasnya aset penting dalam menerajui RTM.








