KUANTAN: Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang disiasat selepas didakwa menyiarkan kandungan di media sosial yang menghina agama Islam, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keharmonian masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
“Kerajaan memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang menghina agama sehingga berpotensi menjejaskan keharmonian awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, agama tidak seharusnya dijadikan bahan provokasi kerana perbuatan sedemikian adalah satu kesalahan.
“Saya menyeru semua pihak agar segera menghentikan penyebaran kandungan berunsur kebencian dan tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial,” katanya.
UMPSA kini menjalankan siasatan tatatertib terhadap pelajar berkenaan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMP Al-Sultan Abdullah) 2024.
Pada masa sama, polis melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menyiasat kes tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Aaron menegaskan kepelbagaian agama di Malaysia adalah aset yang wajib dipelihara.
“Kepelbagaian agama bukan untuk dieksploitasi bagi kepentingan tertentu,” katanya.
Pada masa sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut mengingatkan masyarakat agar lebih berhati-hati di media sosial dan tidak menyebarkan kandungan provokatif.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau insiden berkaitan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.








