DOSM: Ekonomi dijangka kekal berdaya tahan, disokong inisiatif TMM 2026

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan menjelang suku kedua 2026 apabila Indeks Pelopor (IP) mencatatkan peningkatan marginal 0.1 peratus kepada 114.0 mata pada Disember 2025 berbanding 113.9 mata dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi itu disokong oleh peningkatan dalam beberapa komponen utama ekonomi.

“Prestasi IP Disember 2025 diperkukuh oleh peningkatan Penawaran Wang Benar M1 sebanyak 7.3 peratus dan Import Benar Semi Konduktor 4.8 peratus.

“Ini mencerminkan kecairan kewangan domestik yang stabil serta permintaan berterusan terhadap komponen elektronik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, dari perspektif bulanan, IP turut mencatatkan peningkatan 0.5 peratus, disumbangkan oleh pertumbuhan Penawaran Wang Benar M1 (0.5 peratus) serta Jangkaan Nilai Jualan dalam Pembuatan (0.4 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata meskipun trend jangka panjang terlicin IP kekal berada di bawah paras 100.0 mata pada Disember 2025, asas ekonomi negara masih kukuh.

“Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh transformasi ekonomi baharu yang progresif serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal merangsang sektor pelancongan dan perniagaan domestik,” katanya.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa mengekalkan momentum positif dengan pertumbuhan tahunan 2.1 peratus kepada 129.3 mata berbanding 126.6 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut DOSM, peningkatan itu dipacu oleh pertumbuhan konsisten merentasi semua komponen, dengan Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 9.6 peratus sebagai penyumbang terbesar.

Bagaimanapun, prestasi bulanan IS mencatatkan penyusutan kecil 0.02 peratus susulan penurunan Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit yang masing-masing merekodkan negatif 0.1 peratus.

Dalam perkembangan lain, DOSM kini melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” bermula 5 Januari hingga 31 Oktober 2026.

“BE2026 bertujuan mengumpul data menyeluruh dan berstruktur daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar bagi menilai prestasi, struktur serta ciri ekonomi negara secara lebih komprehensif dan berasaskan bukti,” ujarnya.

Malaysia turut mencipta sejarah apabila menduduki tangga pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch (ODW), melonjak daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/23.

Anda Mungkin Berminat