KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan penawaran pekerjaan yang diiklankan secara dalam talian meningkat 7.1 peratus kepada 281,736 jawatan pada suku kedua 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan berkenaan mencerminkan permintaan berterusan terhadap tenaga kerja khususnya dalam kategori profesional dan sektor perkhidmatan.
“Sebanyak 57,666 syarikat mengiklankan kekosongan jawatan pada suku kedua 2025 berbanding 53,441 syarikat pada suku pertama, menunjukkan keyakinan majikan yang semakin kukuh dalam mengembangkan operasi masing-masing,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.
Menurut beliau, hampir separuh daripada keseluruhan penawaran pekerjaan dalam talian tertumpu dalam kategori Profesional yang merangkumi 45.8 peratus atau 129,041 jawatan pada suku kedua 2025, meningkat berbanding 126,255 jawatan pada suku sebelumnya.
“Dari segi kategori pekerjaan, Juruteknik dan Profesional Bersekutu merekodkan 63,803 penawaran, diikuti kumpulan Pengurus sebanyak 48,864.
“Permintaan tinggi turut dicatatkan bagi Profesional Bersekutu Pentadbiran (34,034), Profesional Pengiklanan dan Pemasaran (21,663), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (12,954), Akauntan dan Juruaudit (9,990) serta Profesional Pentadbiran (7,544),” ujarnya.
Mengulas lanjut, Uzir berkata sektor Perkhidmatan terus mendominasi penawaran pekerjaan dalam talian dengan sumbangan 64.7 peratus atau 167,274 jawatan pada suku kedua 2025, berbanding 63.6 peratus pada suku pertama.
“Subsektor Perdagangan Borong dan Runcit merekodkan jumlah tertinggi iaitu 44,927 penawaran, diikuti Aktiviti Profesional, Saintifik dan Teknikal (26,441), Aktiviti Pentadbiran dan Perkhidmatan Sokongan (25,673), Aktiviti Kewangan dan Insurans/Takaful (22,266), serta Pembuatan (20,816),” katanya lagi.
Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan momentum positif pasaran buruh negara selari dengan pengukuhan aktiviti ekonomi semasa.
Baca juga:







