Oleh: Tyah Helmi
TERHARU apabila aksi spontan penjaga gol berpengalaman Portugal, Anthony Lopes, yang menunjukkan dirinya mengalami kecederaan sekali gus memberi ruang kepada pemain bola Muslim dapat berbuka puasa di saat beraksi di Liga ‘Ligue 1’ Ahad lalu.
Menerusi perlawanan sengit antara Kelab Bola Nanted dengan Kelab Bola Le Havre AC di Stade de la Beaujoire, Paris itu, Lopes dilihat rebah pada minit ke-74 sambil memegang bahagian ‘hamstring’ kiri, sekali gus memaksa permainan dihentikan sementara untuk rawatan.
Ketika mana perlawanan dihentikan, beberapa pemain Nantes yang berpuasa mengambi peluang menuju ke tepi padang lantas berbuka puasa dengan minum air dan menjamah kurma.
Menurut laporan media tempatan, tindakan itu membuka ruang buat rakan sepasukannya berbuka puasa, meskipun peraturan bola sepak Perancis tidak memperuntukkan hentian permainan atas faktor keagamaan.
Berbeza dengan beberapa liga lain termasuk Liga Perdana Inggeris yang membenarkan rehat singkat ketika waktu berbuka sepanjang Ramadan, Ligue 1 tidak mempunyai garis panduan khusus berhubung perkara tersebut.
Menariknya, sejurus rakan sepasukannya selesai berbuka, Lopes bangkit dan kembali meneruskan aksi tanpa menunjukkan tanda kecederaan serius, sekali gus mencetuskan reaksi positif dalam kalangan penyokong yang menyifatkannya sebagai simbol solidariti dan semangat sepasukan.
Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan penting 2-0 buat Nantes, yang kini mengumpul 17 mata untuk berada di tangga ke-17 liga, kedudukan pertama dalam zon penyingkiran automatik.
Le Havre pula kekal di tangga ke-13 dengan 26 mata.
Turut berada dalam senarai pemain ialah penyerang Mesir, Mostafa Mohamed, namun beliau tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut.
Baca juga:








