KUALA LUMPUR: UMNO memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini bagi memberi tumpuan kepada persiapan jentera menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 Malaysia (PRU-16).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung pada Khamis.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju menangguhkan Pemilihan UMNO ke satu tarikh yang tidak melebihi enam bulan selepas PRU-16.
“Langkah ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat bersedia menghadapi kemungkinan PRN dan PRU-16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan mesyuarat turut menetapkan tarikh persidangan tahunan parti bagi 2026.
Menurutnya, Persidangan Tahunan Cawangan akan berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei, diikuti Mesyuarat Perwakilan Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai.
Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) pula dijadualkan diadakan pada 12 hingga 16 Ogos depan.
Baca juga:








