Anwar, Azizah Zahir Dukacita Pemergian Sharifah Zuriah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh seni visual negara, Sharifah Zuriah Al-Jeffri, yang kembali ke rahmatullah pada Rabu.

Anwar berkata, Allahyarhamah pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dengan sumbangan besar dalam memperkasa pembangunan seni visual tanah air.

Menurut beliau, jasa Sharifah Zuriah bukan sahaja terserlah melalui peranan pentadbiran tetapi juga melalui karya seni yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan keadilan.

“Antara karya yang dekat di hati ialah lukisan bertajuk ‘WITHER COMPASSION? WITHER JUSTICE? WITHER PEACE?’ yang dihasilkan sebagai refleksi terhadap peristiwa pemecatan saya pada tahun 1998,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anwar berkata, karya tersebut merakamkan suara nurani serta tuntutan keadilan yang dizahirkan melalui bahasa seni yang mendalam dan penuh makna.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan besar buat dunia seni negara yang kehilangan seorang figura berprinsip dan berjiwa besar.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman serta beramal soleh,” katanya.

Sharifah Zuriah dikenang sebagai penggiat seni yang konsisten memperjuangkan nilai kemanusiaan melalui kanvas, meninggalkan kesan mendalam dalam landskap seni visual Malaysia.

Anda Mungkin Berminat