PUTRAJAYA: Perlindungan serta ganjaran kepada pemberi maklumat bakal diperkenalkan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712), sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan undang-undang persaingan di Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peruntukan baharu itu penting untuk memastikan ekosistem pasaran negara kekal adil, telus dan berdaya saing.
Beliau berkata, ketika ini Akta 712 tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan perlindungan pemberi maklumat, manakala Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) pula tidak terpakai kepada penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana tindakan di bawah Akta Persaingan adalah bersifat sivil.
“Akta 711 hanya meliputi pendedahan berkaitan kesalahan tatatertib dan jenayah.
“Justeru, pindaan ini akan memberi kuasa secara langsung kepada MyCC untuk melindungi pemberi maklumat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Armizan berkata, pindaan tersebut akan merangkumi jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat serta sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka, sama ada dalam prosiding MyCC, Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) atau mana-mana prosiding sivil dan jenayah di bawah Akta 712.
Selain perlindungan, MyCC turut diberi kuasa menawarkan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat atau bantuan sehingga membawa kepada penemuan pelanggaran atau pensabitan kesalahan.
“Sebenarnya kelulusan di peringkat dasar sudah dipersetujui Kabinet.
“Kita juga telah mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuk mendapatkan pandangan kementerian dan ulasan Peguam Negara.
“Kini kita dalam proses membawa pindaan ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya lagi.








