DBKL pasang CCTV di Bukit Kiara, kekang kes pecah kenderaan berleluasa

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Susulan kejadian pecah kenderaan di kawasan tempat letak kenderaan yang dialami oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada Isnin lalu, Bukit Kiara bakal dipantau dengan kamera litar tertutup (CCTV) bermula awal bulan Mac 2026.

Perkara itu dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan media pada Jumaat yang berkata pihaknya mengambil maklum tentang hantaran kandungan di laman rasmi Facebook Teresa Kok berkaitan dengan kejadian itu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil maklum hantaran Yang Berhormat (YB) Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, berhubung kejadian pecah kenderaan di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara serta cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan,” katanya.

DBKL memaklumkan kerja pemasangan akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan dijangka siap pada awal bulan Mac 2026.

Dalam nada tegas DBKL berkata, pihaknya kini memandang serius insiden tersebut dan kebimbangan yang disuarakan orang awam yang mana keselamatan warga kota serta pengunjung taman itu sentiasa menjadi keutamaan mereka bagi memastikan persekitaran awam yang selamat dan kondusif.

“DBKL kekal komited untuk memastikan Kuala Lumpur terus menjadi bandar yang selamat, sejahtera dan selesa untuk semua,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Teresa Kok kehilangan wang tunai sebanyak RM2,000 dan barangan peribadi lain selepas cermin selepas keretanya dipecah di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Isnin lalu.

Teresa Kok turut menjelaskan kejadian itu berlaku ketika beliau sedang beriadah di Persekutuan Bukit Kiara pada jam 6.15 petang semalam sejurus selepas hujan lebat berhenti.

“Apabila saya kembali ke kereta pada jam 7 malam, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan dipecahkan.

“Beg tangan saya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk juga hilang.

“Saya hilang kira-kira RM2,000 wang tunai dan wang ang pau, selain kehilangan kad pengenalan serta pelbagai kad kredit dan dokumen penting yang lain.

“Saya terus membuat laporan di Balai Polis TTDI. Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat