Polis siasat dakwaan Bloomberg wujud “Mafia Korporat” libat SPRM

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kegiatan yang dikaitkan dengan “mafia korporat”.

Menerusi sidang media pada Jumaat, Fahmi Fadzil menjelaskan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat serta menentukan tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri memandang serius isu berkenaan dan mengambil maklum gesaan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat ditubuhkan agar dapat secara menyeluruh.

“Kabinet akan meneliti laporan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara sebelum mempertimbangkan tindakan susulan, termasuk keperluan menubuhkan RCI,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet.

Pada perkembangan yang sama, Jurucakap Kerajaan Madani turut memaklumkan jawatankuasa khas kerajaan yang menyiasat dakwaan kes berkaitan dengan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kini berada di fasa akhir siasatan dan djangka menyerahkan laporan itu kepada jemaah menteri pada minggu depan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Bloomberg telah mendakwa beberapa pegawai SPRM terlibat dalam rangkaian ‘mafia korporat’ yang menawarkan khidmat intimidasi termasuk serbuan bagi memberi tekanan kepada eksekutif perniagaan supaya melepaskan pegangan saham mereka.

Bagaimanapun, Azam Baki menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Beliau turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat