SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun 2025.
Kadar itu sedikit menurun berbanding 6.3 peratus yang diumumkan bagi kedua-dua simpanan pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata sebanyak RM67.1 bilion diperuntukkan untuk Simpanan Konvensional manakala RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah, menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan sebanyak RM79.6 bilion bagi 2025.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, KWSP merekodkan pendapatan boleh agih berjumlah RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024.
Aset pelaburan turut berkembang kepada RM1.409 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion sebelum ini, didorong oleh prestasi portfolio pelaburan serta caruman bersih berjumlah RM66.5 bilion.
Walaupun kadar dividen sedikit rendah, Ahmad Zulqarnain menjelaskan jumlah keseluruhan agihan meningkat susulan pertambahan jumlah pencarum.
Keahlian KWSP kini mencecah 18.1 juta, termasuk penyertaan tenaga kerja bukan warganegara, dengan 2.8 juta ahli baharu didaftarkan. Dalam tempoh sama, 89,649 majikan baharu direkodkan, menjadikan jumlah majikan aktif sebanyak 640,391.
Caruman sukarela turut menunjukkan peningkatan kepada RM19.2 bilion, manakala jumlah keseluruhan caruman naik 12.3 peratus kepada RM121.5 bilion, dipacu pertambahan ahli, pertumbuhan gaji dan keyakinan berterusan terhadap KWSP.
Baca juga:








