Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perjuangan PAS disifatkan semakin luntur ekoran pencalonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar sebagai “poster boy” buat gabungan itu di saat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Perkara itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil yang berkata, tindakan itu menunjukkan terdapat perubahan yang signifikan dalam konsep kepimpinan ulama yang selama ini menjadi dasar perjuangan PAS.
“Andai kata kepimpinan ulama menjadi asas perjuangan, sepatutnya Tan Sri Hadi Awang diangkat sebagai “poster boy”, namun ini tidak berlaku.
“Begitulah wajah sebenar PAS, hanya mementingkan politik dan bukannya perjuangan Islam sebenar.
“Islam hanya ditunggang sebagai candu politik demi meraih undi dan sokongan terutamanya daripada kaum Melayu,” ujarnya.
Muhammad Faiz berkata, PAS sebelum ini lantang mengkritik UMNO ketika bermusuhan, namun pendekatan itu berubah apabila kedua-dua parti menjalin kerjasama.
Isu pelaksanaan hudud dan RUU 355 juga, menurutnya, tidak lagi diberi penekanan seperti ketika berada di blok pembangkang.
Pada masa yang sama, beliau turut menepis dakwaan bahawa hanya PAS mampu memperjuangkan Islam, selain menyifatkan label terhadap Amanah sebagai liberal atau sekular sebagai tidak berasas.
Mengulas prestasi pentadbiran negeri, beliau mendakwa negeri-negeri di bawah PAS dan PN tidak menunjukkan pencapaian ekonomi memberangsangkan berbanding negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat menilai kemampuan sesebuah parti bukan sahaja melalui retorik politik, sebaliknya berdasarkan prestasi dan pencapaian sebenar dalam mentadbir serta membangunkan ekonomi negeri dan negara.
“Rakyat perlu bijak menilai kemampuan sesebuah kerajaan di mana sumbangan KDNK adalah indikasi prestasi ekonomi sesebuah kerajaan.
“Dengan prestasi baik ekonomi negara sekarang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia sudah berada di landasan yang betul dalam memacu ekonomi yang lebih baik,” ujarnya.
Baca juga:








