Pusat Hiburan Elit Kepong Diserbu, 107 Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperkukuh usaha membanteras aktiviti haram apabila melaksanakan Ops Gegar di dua pusat hiburan elit sekitar kawasan perindustrian kecil Kepong, Kuala Lumpur.

Serbuan yang dijalankan pada 27 Februari bermula pukul 11.00 malam itu membawa kepada penahanan 107 warga asing tanpa dokumen sah.

Menurut kenyataan rasmi JIM, operasi itu digerakkan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) selepas risikan selama dua minggu.

Sebanyak 224 individu diperiksa, terdiri daripada 171 warga asing dan 53 warga tempatan.

“Kesemua warganegara asing ini ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut,” jelas JIM.

Hasil pemeriksaan mendapati antara yang ditahan ialah 65 wanita dan tiga lelaki warga Thailand, 18 wanita warga Vietnam, 11 lelaki warga Bangladesh, tujuh wanita warga Laos serta tiga wanita warga Indonesia.

Kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

Risikan awal turut mendedahkan modus operandi premis hiburan tersebut.

Wanita warga asing dikendalikan oleh individu bergelar ‘mummy’ yang mengatur perkhidmatan pelanggan serta persembahan pentas.

Sistem bayaran pula dipercayai ditentukan melalui kad berwarna dengan kadar antara RM100 hingga RM1,314.

Premis berkenaan turut dikawal pengawal keselamatan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menyita beberapa barangan termasuk cip bayaran, kalung, set komputer dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti premis.

Selain warga asing yang ditahan, tujuh warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen,” tegas JIM, merujuk kepada Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak terlibat atau bersekongkol dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen serta digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan.

Anda Mungkin Berminat