KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebenaran berhubung isu provokasi agama yang tular akan terungkai secara menyeluruh dan telus menerusi siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
Beliau berkata, perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa bagi memastikan proses siasatan berjalan mengikut lunas undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan sewajarnya.
“Kebenaran akan terungkai secara menyeluruh dan telus melalui proses yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan keadilan ditegakkan selain menjamin keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Menurut Anwar, sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengeruhkan keadaan.
Kerajaan katanya, akan terus memantau perkembangan isu berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi melengkapkan siasatan.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.








