KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah antara 28 Februari hingga 1 Mac 2026 susulan penutupan sementara ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan memaklumkan pembatalan berkenaan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang dan kru sentiasa terjamin.
Menurut kenyataan itu, penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan secara terus dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif.
“Penumpang dinasihatkan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing menerusi fungsi ‘My Booking’ di laman web rasmi Malaysia Airlines bagi menerima maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, penerbangan ke dan dari London serta Paris diteruskan seperti dijadualkan menggunakan laluan alternatif yang tidak melalui kawasan terjejas.
Malaysia Airlines memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi semasa dengan rapi dan akan mengemas kini perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
“Keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu lagi.
Penumpang yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi Pusat Perhubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).








