Konflik Asia Barat: Kerajaan Ambil Langkah Proaktif Lindungi Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Di tengah pergolakan yang semakin memuncak di Asia Barat, kerajaan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia dalam keadaan baik dan terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Luar menerusi Kedutaan Malaysia di negara-negara yang terlibat telah diberikan mandat penuh untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Setiap nyawa rakyat Malaysia amat berharga bagi saya.

“Kerajaan MADANI sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan perlindungan serta kebajikan mereka sentiasa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan berada dalam keadaan siap siaga dan akan menyelaras sebarang bentuk bantuan atau tindakan lanjut sekiranya keadaan memerlukan.

“Kepada Allah SWT kita berserah, semoga mereka sentiasa dilindungi, dipermudahkan urusan dan dipelihara daripada segala bahaya,” tambahnya.

Kerajaan turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas agar sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan serangan berskala besar ke atas Iran oleh tentera Amerika Syarikat dan Israel pada Sabtu.

Saluran penyiaran milik kerajaan Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) melaporkan, serangan tersebut turut mengakibatkan kematian pemimpin tertinggi Tehran, Ayatollah Ali Khamenei.

Menurut media rasmi, Iran telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari susulan kematian pemimpin tertinggi negara itu.

Anda Mungkin Berminat