‘Melalak’ Teguran Politik, Bukan Remeh Kebimbangan Rakyat – AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung istilah ‘melalak’ adalah teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh, bukannya usaha meremehkan kebimbangan rakyat.

Ketua AMK, Kamil Munim berkata, tafsiran yang sengaja diambil di luar konteks boleh merosakkan kredibiliti institusi dan mengelirukan rakyat.

“Kenyataan Perdana Menteri bukan serangan terhadap mana-mana individu atau pihak tetapi peringatan agar budaya tuduh-menuduh tanpa fakta lengkap tidak terus menjadi norma politik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan siasatan penuh terhadap insiden penghinaan al-Quran dan pihak berkuasa telah menahan individu terlibat.

“Kerajaan tidak berdiam diri. Tuduhan bahawa ia lambat bertindak hanyalah naratif politik untuk meraih keuntungan sempit,” tambahnya.

Beliau berkata, tindakan tergesa-gesa atau tekanan politik untuk ‘mempopularkan’ isu sensitif agama boleh memburukkan keadaan.

“Dalam isu yang melibatkan keharmonian antara kaum dan sensitiviti agama, ketegasan mesti disertai kebijaksanaan.

“Mengapi-apikan isu sebelum fakta diperoleh adalah politik yang berbahaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, AMK menyeru semua pihak menghentikan manipulasi isu ini demi kepentingan politik sempit dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan secara profesional.

“Kita perlu menolak budaya politik yang menyalurkan emosi dan retorik murahan.

“Keamanan dan keharmonian negara tidak boleh dikorbankan demi populariti politik.

“Kita berdiri teguh di belakang kerajaan dalam memastikan keadilan ditegakkan secara telus, profesional dan tanpa gangguan politik,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat