Konsulat Jeddah Buka Bilik Operasi Pantau Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Jeddah hari ini membuka sebuah Bilik Operasi khas susulan konflik yang melanda rantau Timur Tengah.

Langkah itu diambil bagi memantau perkembangan melibatkan rakyat Malaysia di Wilayah Barat Arab Saudi khususnya mereka yang terkesan akibat pembatalan penerbangan dan gangguan perjalanan.

Dalam kenyataan rasmi, KJM Jeddah memaklumkan bilik operasi tersebut mula berfungsi pada pukul 9 pagi.

“Pembukaan bilik operasi berkenaan bertujuan memantau secara dekat situasi semasa khususnya membabitkan rakyat Malaysia yang terkesan akibat pembatalan penerbangan dan gangguan perjalanan,” jelas kenyataan itu.

Bilik Operasi itu akan beroperasi 24 jam sehari bagi memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia terus diberi perhatian.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi talian +966 126 727 740 atau +966 573 099 589, manakala sebarang pertanyaan juga boleh disalurkan melalui emel rasmi di [email protected].

Konsulat turut menasihatkan rakyat Malaysia di Arab Saudi supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan kekal tenang sepanjang tempoh ini.

Anda Mungkin Berminat