UAE tanggung kos penginapan, makanan pelancong terkandas

DUBAI: General Civil Aviation Authority (GCAA) mengumumkan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menanggung sepenuhnya kos makanan dan penginapan bagi semua pelancong yang terkandas di lapangan terbang seluruh negara susulan penutupan sementara ruang udara.

Langkah itu diambil selepas semua penerbangan ke dan dari UAE dibatalkan selama beberapa hari, menyebabkan ribuan penumpang terpaksa melanjutkan tempoh tinggal mereka, khususnya di Dubai, melebihi jadual asal.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, GCAA memaklumkan kerajaan komited menyediakan kemudahan penginapan sementara, makanan serta sokongan perkhidmatan kepada penumpang yang terjejas sepanjang tempoh situasi semasa.

Menurut pihak berkuasa itu, perkhidmatan penting akan terus beroperasi ketika pelarasan jadual penerbangan dilaksanakan, selain pelan menyeluruh digerakkan bagi menangani kesan perkembangan semasa di rantau berkenaan.

GCAA memaklumkan syarikat penerbangan nasional termasuk Emirates dan Etihad Airways, bersama lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), telah mengendalikan lebih 20,000 penumpang yang terkesan akibat penjadualan semula penerbangan sejak beberapa hari lalu.

“Penginapan sementara disediakan kepada penumpang yang terkandas, selain makanan dan minuman. Pihak berkuasa serta syarikat penerbangan turut memudahkan proses tempahan semula penerbangan selaras pelan operasi yang diluluskan,” menurut laporan Time Out Dubai.

Syarikat penerbangan nasional, dengan kerjasama pihak berkuasa, turut mengurus penerbangan ketibaan dan pelepasan yang terjejas akibat situasi operasi semasa.

Penumpang dipindahkan ke destinasi masing-masing dalam negara, manakala penumpang transit diberikan penginapan sementara dengan semua prosedur kawal selia dilaksanakan mengikut rangka kerja ditetapkan.

GCAA menegaskan penyelarasan antara lapangan terbang dan syarikat penerbangan masih diteruskan bagi memantau status penerbangan serta menjadualkan semula perkhidmatan, sekali gus memastikan operasi dapat disambung semula secara selamat dan teratur apabila keadaan mengizinkan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi serta menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mengetahui status penerbangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat