Isu pemilikan saham Azam Baki, kita tunggu laporan AGC – Anwar

PARLIMEN | Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dijangka siap minggu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan meneliti terlebih dahulu laporan yang diketuai Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum membuat sebarang keputusan lanjut, termasuk sama ada siasatan perlu diperluaskan.

Menurut beliau, adalah terlalu awal untuk memutuskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berkenaan.

“Siasatan yang diketuai Peguam Negara akan siap dalam beberapa hari lagi. Jadi kita lihat dahulu sama ada terdapat rasional dan keperluan untuk melanjutkan siasatan serta dalam skop mana ia perlu diteliti.

“Saya tidak menerima atau menolak cadangan RCI ketika ini. Kita ikut proses sedia ada dan menunggu laporan daripada Peguam Negara yang dijangka diserahkan dalam tempoh satu dua hari,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta penjelasan mengenai tindakan khusus yang boleh dijangka sekiranya RCI ditubuhkan, termasuk skop siasatan, kuasa perundangan serta kaedah pelaksanaannya, selain jangka masa ia akan dimulakan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat