KUANTAN: Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang didakwa memijak Al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lepas mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen, Kuantan pada Selasa.
Pengakuan tidak bersalah yang dilakukan oleh S.Vikneswaran itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad dan minta dibicarakan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Vikneswaran yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diwakili oleh peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.
Manakala, pihak pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharizat Ismail.
Tertuduh berusia 21 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira pada pukul 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Dia dilihat memakai baju kemeja-T berwarna merah berlengan putih dibawa masuk ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari dan dikawal ketat oleh anggota polis.
Dalam pada itu, Mahkamah telah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Menerusi kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini, berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap lelaki itu.
Pelajar sebuah universiti di Kuantan itu ditahan pada 25 Februari lalu kerana memuat naik gambar memijak al-Quran menerusi akaun Threads miliknya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencemarkan suatu benda yang dianggap suci oleh penganut Islam, iaitu sebuah al-Quran, dengan niat mengaibkan agama Islam di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan pada 22 Februari 2026.
Bagi perbuatan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara sedar menghasilkan dan menghantar komunikasi jelik melalui aplikasi Threads menggunakan akaun “RYANDASELVA” dengan niat menyakitkan hati orang lain pada tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2), denda sehingga RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pihak polis menerima sebanyak 82 laporan dari seluruh negara berkaitan isu tersebut dan 43 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Baca juga:








